Fitrah semulajadi manusia kasih sayang kepada ibu bapanya
Kasih fitrah ini tidak payah diajar-ajar dan diasuh kepada manusia
Diajar-ajar dan diasuh hanya untuk menyuburkannya sahaja.
Begitulah fitrah semulajadi manusia kasih kepada orang yang berjasa kepadanya
Seperti guru-gurunya, pemimpin-pemimpinnya, orang yang pemurah kepadanya
Kasih fitrah ini payah hendak dibuang dan diungkai
Kalau terjadi di dalam kehidupan ini di kalangan manusia,
Anak-anak hilang kasih sayang dengan ibubapanya,
Terungkai kasih sayang dengan guru-gurunya, pemimpin dan orang-orang yang berjasa kepadanya,
Lebih-lebih lagi hingga membenci dan derhaka kepada mereka,
Mesti ada yang tidak kena.
Kesalahan dan kesilapan itu ia mesti bermula daripada ibubapa, guru, pemimpin dan orang yang berjasa
Kesalahan itu mesti lebih berat dan lebih besar daripada jasa-jasanya
Kerana kasih sayang yang bersifat fitrah itu bukan senang hendak diungkai
Kalau sedikit-sedikit sahaja yang berlaku kepada orang yang telah disebut dahulu,
Orang boleh melupakannya
Tidak akan sampai terungkai kasih sayangnya
Oleh itu kalau anak-anak derhaka kepada ibubapa
Murid-murid membenci kepada guru-gurunya
Rakyat jelata membenci dan derhaka kepada pemimpin-pemimpinnya
dan orang yang berjasa kepadanya
Yang paling utama mengkoreksi diri adalah ibubapa, guru-guru dan para pemimpin
Janganlah hendak menuding jari kepada orang lain
Kalaupun kesalahan itu ada pada orang lain
Hanya sebagai sampingan dan tambahan-tambahan sahaja
Tapi bukan sebagai kesalahan yang asas apa yang telah terjadi itu.
oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi